MH370 Boleh Terbang Rendah Tetapi

MH370 Boleh Terbang Rendah Tetapi | Kemampuan sesebuah pesawat komersial untuk terbang di altitud lebih rendah didorong oleh keupayaan enjin, bahan api dan kecekapan juruterbang, kata penganalisis Kejuruteraan Penerbangan, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.




Menurut beliau, apabila pesawat dibawa kepada ketinggian yang lebih rendah akan memberi tekanan kepada enjin dan pesawat untuk kekal dengan kedudukan stabil menyebabkan penggunaan bahan api bertambah dengan mendadak.

Sekiranya pesawat itu dari ketinggian 35,000 kaki turun kepada 5,000 kaki, penggunaan bahan api akan bertambah, kerana pesawat terpaksa kekal dalam kedudukan yang  ‘stress’ dari segi keupayaan  enjinnya,” katanya ketika dipetik dalam wawancara bersama Astro Awani mengulas kebolehan dan limitasi pesawat Boeing777-200 milik MAS yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Jelas beliau, ini antara aspek yang perlu difahami dari segi kejuruteraan penerbangan terutama  sifat dan karakter sebuah enjin pesawat yang  dibina supaya efisien untuk ketinggian altitud tinggi.

"Walaupun pesawat terbang di ketinggian 5,000 kaki, masih boleh dikesan oleh radar," katanya.

Ujarnya lagi, aspek lain yang tidak kurang pentingnya adalah keupayaan pesawat MH370 melakukan perubahan kedudukan dari segi perjalanan.

“Apa yang kita faham, dalam kedudukan yang lebih rendah tempat penerbangan itu memainkan faktor penting.

“Di mana kawasan itu, sebagai contoh di koridor utara, banyak kawasan pergunungan dan hutan tentulah kedudukan ini memainkan peranan penting kerana sebarang perubahan pesawat komersial seperti pesawat ini  tidak mudah berbanding jet pejuang F18 umpamanya yang dibina untuk melakukan perubahan kedudukan dengan tangkas tetapi tidak dibina bagi pesawat komersial,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata, mengawal keadaan pesawat demikian hampir dengan bentuk muka bumi akan mendatangkan bahaya dan tekanan kepada juru terbang.

“Walaupun sebenarnya memang  pesawat dibina untuk ketahanan apa juga keadaan,  sama ada pada ketinggian 1000 kaki atau 35,000 kaki, kita perlu fahami perubahan tekanan udara  dan suhu itu berbeza pada setiap ketinggian,” katanya.

Sumber: Sinar Harian
0 Komentar untuk "MH370 Boleh Terbang Rendah Tetapi"

Back To Top