Dyana Sofya Kena Warning Dengan Hadirin Ketika Berceramah (Video dan Gambar) | Walaupun diganggu sekumpulan pemuda bermotosikal sewaktu menemui pengundi pada petang semalam, calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud kembali ke kawasan sama di Padang Tembak, Teluk Intan pada sebelah malamnya untuk berceramah.
Menurut Dyana, beliau sudah menawarkan dirinya sebagai calon anggota Parlimen Teluk Intan kepada pengundi di situ dan ujian demikian tidak melemahkan semangatnya walaupun beliau mengakui sedikit takut sewaktu diganggu.
"Dicerca ditohmah, macam-macam tak boleh, saya dah kata saya di sini untuk rakyat Teluk Intan," katanya tegas sewaktu berceramah di perkarangan rumah seorang penyokong PAS di Padang Tembak, malam tadi.
Petang semalam, sekumpulan kecil pemuda bermotosikal mengganggu Dyana sewaktu dia menemui pengundi di pasar Padang Tembak.
Pemuda tersebut cuba mendekatinya dan pemimpin DAP, Lim Kit Siang yang menemaninya dalam tinjauan mesra di kawasan itu.
Bagaimanapun, anggota keselamatan DAP bertindak menyekat pemuda itu dan anggota polis juga meminta kumpulan pemuda itu supaya beredar dari situ.
Dalam ceramah sama, Dyana menegaskan ujian begitu terlalu kecil jika dibandingkan dengan kecekalan pemimpin veteran DAP seperti mendiang Karpal Singh dan Lim Kit Siang yang telah lama bergelumang dalam politik untuk rakyat Malaysia.
"(Selama) 40 tahun (mereka) berjuang untuk rakyat - bukan ada personal gain (keuntungan peribadi) dan bukannya dapat projek pun," kata setiausaha politik Lim Kit Siang di Gelang patah itu.
Di hujung ceramahnya, Dyana memujuk hadirin ceramahnya agar 'menghantar' beliau ke Parlimen bagi mewakili mereka.
Bagaimanapun, pujukan Dyana itu dibalas dengan usikan 'nakal' seorang hadirin ceramah.
Individu itu yang hanya kedengaran suaranya tetapi tidak dapat dicam wajahnya mencelah ceramah itu dan berpesan secara ringkas agar Dyana "Jangan tolak hudud."
Dyana yang mendengar celahan itu dengan jelas hanya tersenyum dan menjawab: "Saya bukan tolak hudud, baca balik kenyataan saya sebelum ini".
Peguam muda itu dalam wawancaranya dengan Malaysiakini selepas diumum sebagai calon menjelaskan bahawa beliau tidak menentang hudud, namun, pelaksanaannya di Malaysia tidak boleh dijalankan selagi isu sosio-ekonomi tidak diatasi.
0 Komentar untuk "Dyana Sofya Kena Warning Dengan Hadirin Ketika Berceramah "