PRK Teluk Intan - Wardina Safiyyah Sorok Bawah Sink ?

PRK Teluk Intan - Wardina Safiyyah Sorok Bawah Sink ? | “Melihat kepada rancak kempen pilihan raya, saya jadi termangu-mangu,” tulis selebriti Wardina Safiyyah menerusi facebook. Justeru, beliau sangat mengharapkan agar kedua-dua kem dapat berkempen secara sihat. “Tidak perlu character assassination untuk menunjukkan kalian lebih baik daripada yang lain,” tulisnya lagi. Berikut tulisan penuh beliau.Petang tadi, saya sempat menonton berita Edisi 7.


Ada kisah tentang pilihan raya kecil Teluk Intan. Dalam footage berita, banyak dimuatkan video beberapa tempat tersohor di situ. Antaranya pasar kering dan basah, Menara Condong, Pejabat Tanah dan Daerah, laluan hadapan mahkamah dan beberapa kawasan di tepian sungai.Teluk Intan, atau orang lama di situ mengenalinya sebagai Teluk Anson. Ia kota kecil yang manis dan anggun dari segi sejarah dan peradaban. Sederhana, namun mewah dari kaca mata saya.

Banyak kenangan manis, pahit dan getir yang saya lalui di situ, sewaktu saya bertugas pasca perpindahan dari Pulau Pinang. Setiap lokasi yang ditunjukkan, nyata menyimpan pelbagai kenangan jatuh bangun dan jerih payah saya. Saya tinggal di situ dengan seorang teman yang merupakan seorang doktor perubatan. Orangnya cantik, namun ulahnya juga gila-gila seperti saya. Pernah, kami makan durian di bawah sinki pada waktu tengah malam, dek mengidam yang bersangatan. Mengapa di bawah sinki? Sebab, kami bersembunyi daripada intipan jiran sebelah yang suka menjenguk melalui cermin tingkap dapur. 

Heheh...Melihat kepada rancak kempen pilihan raya, saya jadi termangu-mangu. Saya sangat mengharapkan agar kedua-dua kem dapat berkempen secara sihat. Tidak perlu "character assassination" untuk menunjukkan kalian lebih baik daripada yang lain. Sungguh, dengan memburukkan orang lain, dengan mengeji perjalanan kehidupan orang, dengan mengoyakkan maruah dan keperibadian yang mahu diselindungkan, tidak akan menjadikan kalian lebih mulia dan terkehadapan. 

 Simpanlah umpatan dan caci maki ke dalam guni, kemudian ikat dengan tali kemas-kemas, humban ke laut lepas. Tiada untung saat maruah orang lain diperhitung buat tatapan umum. Menjadi pemimpin yang sopan dan tahu akal budi, serta tahu menghargai, akan menjadikan kalian tampak anggun berseri.Kita tidak mampu menghalang kemaraan orang. Biarkan bintang mereka bergemerlapan. Jika kita mahu bintang kita ikut bersinar, usahalah dengan jalan paling baik, tanpa melukakan dan mencarikkan perasaan orang. 

Tuhan pasti bersama-sama dengan kalian yang berusaha menggunakan jalan halal, dan natijahnya adalah kemenangan.

Sumber: Addin
0 Komentar untuk "PRK Teluk Intan - Wardina Safiyyah Sorok Bawah Sink ?"

Back To Top