Kerana Facebook, Wanita Di Seremban Gigit Dan Tampar Jiran Sampai Berdarah | Akibat tidak
berpuas hati dengan komen di laman sosial Facebook (FB), dua wanita
masing-masing didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam,
selepas mengaku bersalah menyerang jiran mereka, Februari lalu.
Maziah, (kanan) bersama Melor ketika hadir di Mahkamah Majistret Seremban, semalam. |
Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh, menjatuhkan hukuman itu ke atas
Maziah Samion, 31, dan Melor Abu Bakar, 51, yang mengaku bersalah
selepas pertuduhan dibacakan.
Mereka didakwa secara bersama menyebabkan kecederaan Saridah Sohib,
39, di sebuah rumah di Jalan 19, Taman Mulia, Mantin dekat sini, pada
jam 10 malam, pada 21 Februari lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun
Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan
hukuman penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau
kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum menjatuhkan
hukuman, Mohamad Izwan berkata, tertuduh sepatutnya malu dengan
perbuatan mereka serta tidak terlalu mengikut perasaan marah.
“Malu apabila jadi begini kerana anak sudah besar. Jika tidak dapat
selesai cara baik, jumpalah penghulu atau sesiapa yang boleh membantu.
Kamu sepatutnya cari cara lain, kalau ikutkan nafsu, memang beginilah
akibatnya,” katanya.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Mohammad Zanudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh mengunjungi rumah Saridah
kerana tidak berpuas hati dengan komen jiran mereka dalam Facebook
hingga berlaku pertengkaran.
Dalam kejadian itu, Saridah memaklumkan komennya kerana tindakan
tertuduh yang bercerita mengenai hal dirinya dan keluarga kepada
penduduk, selain menuduhnya dengan perkara bukan-bukan.
Berikutan itu, tertuduh memukul, menarik rambut dan menampar pipi
Saridah sehingga mulutnya berdarah. Dalam kejadian itu, Maziah turut
menggigit tangan Saridah.
Sumber: Harianblogger
0 Komentar untuk "Kerana Facebook, Wanita Di Seremban Gigit Dan Tampar Jiran Sampai Berdarah"