"Saya Lihat Banyak Mayat Berserakan di Pinggir Gaung" - Anggota Bomba, Mohd Fahmi

"Saya Lihat Banyak Mayat Berserakan di Pinggir Gaung" - Anggota Bomba, Mohd Fahmi | “Apabila saya turun untuk membantu kerja-kerja menyelamat berhampiran bangkai bas yang remuk itu, saya dapati ramai mangsa yang maut itu berserakan di pinggir dan dalam gaung itu dalam keadaan mengerikan,”.

Itulah diantara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Karak, Mohd Fahmi Abdul Rahim apabila dikerah untuk membantu kerja-kerja menyelamat mangsa nahas bas ulang-alik Genting Highlands-Kuala Lumpur di KM3.5 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur pada tahun lalu.

Dalam kejadian yang berlaku pada 21 Ogos itu, 37 penumpang termasuk pemandu bas maut apabila bas yang dinaiki 53 penumpang itu terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung dengan kedalaman 60 meter.

Kejadian berlaku ketika bas tersebut menuruni jalan curam dari Genting Highlands menuju ke ibu negara.

Tambah Fahmi lagi, pada mulanya pihaknya mendapat maklumat mengenai sebuah kemalangan bas di Genting Highlands namun ianya tidak menyangka nahas bas tersebut melibatkan kecederaan dan kematian yang banyak.

TELITI: Mohd Fahmi meneliti objek atau mangsa yang ditinjau melalui kamera khas dalam demonstrasi menyelamatkan mangsa runtuhan bangunan pada Pameran Hari Anggota Bomba Sedunia 2014.
“Kami mendapat maklumat tentang adanya kemalangan jalan raya yang berlaku namun maklumat tersebut masih samar-samar pada mulanya dan anggota yang ada ketika itu diletakkan dalam keadaan siap sedia jika diperlukan,” katanya ketika ditemui Astro Awani ketika ditemui selepas Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2014 di Dataran Merdeka disini.

Namun, selepas mendapat arahan untuk membantu menyelamat mangsa kemalangan tersebut, Mohd Fahmi bersama-sama anggota balai bombanya bergegas ke tempat kejadian.

“Perjalanan mengambil masa sejam untuk sampai ke kawasan kejadian dan apabila saya sampai, saya dapati ada beberapa penumpang yang terselamat telah berjaya dibawa naik,”.

Ketika itulah, beliau turun ke bawah gaung itu untuk membantu menyelamatkan mangsa dan apa yang beliau dapati adalah satu situasi yang mengharukan dan ngeri.

“Mayat bersepah disana sini kerana rata-ratanya tercampak keluar daripada bas. Kebanyakkan mereka maut akibat mengalami kecederaan dalaman pada badan dan ada juga yang patah anggota badan mereka,”.

Ada juga mayat yang ditemui masih terhimpit dalam bangkai bas yang remuk itu dan memerlukan masa untuk dikeluarkan.

“Saya terlibat membawa naik mangsa yang ke 11 dan selama misi menyelamat itu dijalankan saya hanya berada di bawah kawasan gaung itu untuk memastikan semua mangsa sama ada yang terselamat atau yang meninggal dunia dikeluarkan dengan segera daripada kawasan tersebut,”.

Menurutnya lagi, kerja-kerja menyelamat itu dilakukan dengan segera namun berhati-berhati memandangkan keadaan cerun gaung yang licin, ditambah pula cuaca yang tidak menentu dan keadaan persekitaran yang sudah hampir gelap kerana hari akan memasuki malam.

“Pelbagai perasaan yang bermain di fikiran saya termasuklah rasa simpati, sedih dan bermacam-macam lagi  namun demi tugas, saya kena ketepikan itu semua dan memastikan kerja-kerja mencari dan menyelamat dijalankan dengan sempurna,”.

Penglibatannya dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat ini sudah menjadi kebiasaan bagi hidupnya sebagai warga bomba dan tiada istilah penat atau jemu dalam menjalankan tanggungjawabnya menyelamatkan nyawa orang yang memerlukan.

“Kes-kes kebakaran, kemalangan ataupun lemas itu sudah menjadi lumrah atau tugasan harian bagi saya dan anggota saya dan adakalanya khidmat kami ini diperlukan sehingga luar kawasan seperti kes-kes mencari orang hilang atau sesat di Gunung Tahan,”.

Malah, khidmatnya tidak berhenti disitu apabila beliau juga pernah dikerahkan untuk membantu kerja-kerja mencari dan menyelamat insiden tanah runtuh Rumah Anak Yatim At-Taqwa di Hulu Langat pada 2011.

Pemuda berumur 30 tahun itu berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan dan telah empat tahun tahun berkhidmat sebagai anggota bomba.

Beliau juga telah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang anak berumur setahun.

 Hari Anggota Bomba Sedunia yang disambut setiap 4 Mei memberi pengiktirafan yang besar dan amat bermakna daripada rakyat Malaysia dan negara diatas sumbangan dan jasa bakti yang telah dicurahkan oleh anggota bomba terutama dalam kerja-kerja memadamkan kebakaran dan menyelamatkan nyawa. 

Sumber: Astro Awani
0 Komentar untuk ""Saya Lihat Banyak Mayat Berserakan di Pinggir Gaung" - Anggota Bomba, Mohd Fahmi "

Back To Top