Bagaimana Ambulan Mendapat Namanya. Jangan Terkejut! | Perkataan "ambulance" diambil daripada perkataan Latin "ambulare" yang membawa maksud "to walk". Kemudian, terbit "hôpital ambulant", istilah Perancis yang pada dasarnya bermaksud "mobile hospital". Pada peringkat awal, "ambulance" tidak membawa maksud seperti apa yang digunakan sekarang. Secara umumnya, ia merujuk kepada suatu struktur perubatan sementara yang boleh bergerak dengan mudah terutamanya bagi merujuk kepada hospital perubatan bergerak tentera.
"Ambulance", dalam Bahasa Inggeris dikesan kali pertama muncul sekitar 1798, juga merujuk kepada suatu struktur perubatan sementara. Kenderaan pengangkutan perubatan bergerak juga dikenali sebagai ambulans di Perancis sekitar waktu ini. Seorang warga Perancis, Dominque-Jean Larrey memperkenalkan perkhidmatan "flying ambulance" yang direka untuk membawa keluar para askar yang tercedera dari medan perang untuk rawatan semasa perang. Tidak seperti praktik sebelumnya yang menunggu sehingga pertempuran berakhir.
Menjelang pertengahan abad ke-19, "ambulance" dikembangkan penggunaannya untuk merujuk kepada sebarang kenderaan yang digunakan untuk membawa askar yang tercedera di medan perang ke hospital tentera. Salah satu contoh terdekat ialah semasa Perang Krimea (1853-1856). Tidak lama selepas itu, semasa Perang Saudara Amerika, kenderaan pengangkutan perubatan sedemikian dikenali sebagai "ambulance wagon". Sejak itu, gelaran "ambulance" bagi kenderaan perubatan bergerak melekat sehingga sekarang.
"Ambulance" diterjemahkan sebagai "ambulans" dalam Bahasa Malaysia, manakala "ambulance chaser" bukanlah sejenis kenderaan. Ia gelaran kepada segolongan peguam dan dipercayai istilah tersebut mula digunakan sekitar 1897. Ia merujuk kepada peguam yang mendapatkan pelanggan dengan memujuk mangsa kemalangan untuk membuat saman ganti rugi.
Sumber: KongsaKongsi
0 Komentar untuk "Bagaimana Ambulan Mendapat Namanya. Jangan Terkejut!"