Pesawat Belum Jumpa, Buku Kehilangan MH370 Dah Siap!

Pesawat Belum Jumpa, Buku Kehilangan MH370 Dah Siap! | BELUM pun lokasi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 ataupun kotak hitamnya ditemui, buku berkaitan mengenai kejadian itu sudah pun siap untuk diterbitkan dan dikesan dipamerkan di satu program Pesta Buku di London.

Buku yang berada dalam pesta buku London karangan Nigel Cawthorne

Menurut laporan laman web The Rakyat Post, buku itu ditulis oleh penulis fiksyen dan wartawan Nigel Cawthorne. Buku itu dijadualkan akan dilancarkan pada 15 Mei depan.

Gambar buku terbitan Blake Publishing berkenaan kini tersebar di laman sosial di seluruh dunia. Ketika pasukan penyiasat dari pelbagai negara sedang cuba mencari jawapan kepada misteri kehilangan pesawat itu pada 8 Mac lepas, peminat buku antarabangsa kini tertanya-tanya apakah kandungan utama di dalam buku tulisan Cawthorne itu.

Menurut butiran penulisnya, beliau turut pernah menyumbangkan karya tulisannya kepada syarikat penerbitan Britain antaranya The Guardian, The Daily Telegraph dan The Daily Mail.

Cawthorne turut dikenali dengan beberapa buah buku berkaitan seks antaranya Sex Lives Of The Pope, Sex Lives Of The Famous Lesbians dan Sex Lives Of The Roman Emperors.

Dia turut pernah menulis buku bertajuk Antics Of Old England dan Sex Secret Of Old England. Menurut laman web pendaftaran buku United Kingdom, buku MH370, The Mystery itu diterbitkan dengan ketebalan 288 mukasurat.

“Penulis dan wartawan berpengalaman Nigel Cawthorne telah membuat penyelidikan kejadian MH370 dengan menyeluruh dan terperinci, bakal mendedahkan penjelasan di sebalik misteri yang membuatkan seluruh dunia tertanya-tanya,” menurut sinopsis buku itu.

Pesawat itu hilang dari radar pada 8 Mac lepas ketika dalam penerbangan ke Beijing, China dari Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Pada hari kejadian, pesawat itu membawa bersama 227  penumpang dan 12 anak kapal.

Sumber: Mynewshub
0 Komentar untuk "Pesawat Belum Jumpa, Buku Kehilangan MH370 Dah Siap!"

Back To Top