Kehilangan MH370 - Professor UM Bongkar Penglibatan Kuasa Besar | Jika benar
andaian bahawa terdapat kuasa besar terlibat dalam misteri kehilangan
MH370, maka Malaysia tidak mampu membuat keputusan sendiri selain hanya
bergantung kepada arahan dan petunjuk negara tersebut.
Pensyarah Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti
Malaya (UM), Prof Datuk Dr Mohamad Abu Bakar berkata, kapasiti Malaysia
sebagai sebuah negara dan kuasa kerdil akan mudah dimanipulasi oleh
negara kuasa besar tersebut.
“Kita juga diberitakan
terdapat penglibatan kuasa besar, seandainya benar, mereka saja yang
lebih tahu dan akan mencorakkan misi pencarian ini selain tidak
mendedahkan secara terperinci maklumat berkenaan kehilangan MH370 kepada
Malaysia.
“Jadi amat sukar untuk Malaysia mencari penyelesaian berikutan
maklumat tidak tepat ini sehingga menjerumuskan negara ke dalam situasi
dilema seperti sekarang,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Menurutnya, keputusan tidak memberangsangkan hasil usaha mencari dan
menyelamat juga kemungkinan berpunca daripada fakta yang disembunyikan
oleh kuasa besar tersebut.
“Usaha pencarian dilihat agak buntu kerana dibayangi oleh negara
kuasa besar yang hanya memberikan cebisan maklumat kepada kita. Kerana
itu, usia pencarian yang kini masuk tempoh sebulan masih belum menemui
apa-apa,” katanya.
Menurutnya, kuasa besar tersebut tidak akan mendedahkan perancangan
sulit mereka dalam misteri kehilangan MH370, sebaliknya akan cuba
mempermainkan isu menyalahkan Malaysia seperti yang dilakukan media
asing kini.
Sumber: Sinar Harian
0 Komentar untuk "Kehilangan MH370 - Professor UM Bongkar Penglibatan Kuasa Besar"